KEKALAHAN 1-6 di tangan Jepun amat mengaibkan. — FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


JURULATIH skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans mendedahkan, beliau sedar anak buahnya tidak mampu mengekalkan aksi terbaik mereka ketika menyertai Kejohanan Ujian Sukan Olimpik di Tokyo yang berakhir, semalam.

Jelas Oltmans, siri jelajah itu menuntut keupayaan luar biasa mental dan fizikal setiap pemain.

“Setiap pemain yang berada dalam senarai dan tidak mengalami sebarang kecederaan sama ada yang beraksi di Eropah mahupun di Jepun atau kedua-duanya, menyedari sejak awal siri jelajah ini satu daripada proses pemilihan untuk Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

“Ia bukan hanya menguji taktikal tapi juga mental serta fizikal semua pemain dan kami dapat mengumpul banyak maklumat berguna ketika beraksi dengan pasukan terbaik di dunia,” katanya.

Menjawab rasa tidak puas hati Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal selepas kekalahan memalukan 1-6 di tangan Jepun pada penentuan tempat ketiga kelmarin sekali gus yang terburuk sejak 1973, Oltmans akur dengan pandangan majikannya itu namun mahu semua pihak melihatnya dari sudut lebih positif.

“Anda mungkin tidak gembira dengan keputusan, tapi berbeza dengan persembahan. Anda juga perlu melihat keputusan dari sudut berbeza kerana kami sedang mempersiapkan pasukan untuk meraih keputusan positif Oktober ini.

“Sukar untuk pemain mencapai kemuncak dalam tempoh sebulan yang padat dengan 13 perlawanan, empat hari perjalanan antara dua venue dan perbezaan waktu ketara.

“Kami sedar mengenainya tapi tetap memilih untuk meneruskan program dengan matlamat bagi menghadapi aksi kelayakan terakhir Sukan Olimpik,” katanya.

Malaysian Tigers tewas semua perlawanan di Tokyo dengan perlawanan terakhir bertemu Jepun paling mengaibkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:27 PM