SHEREEN dikatakan mahu menumpukan terhadap pelajaran di luar negara. — FOTO Abdullah Yusof
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


IMPIAN kuartet 4x400 meter wanita negara untuk beraksi pada temasya Sukan SEA Filipina tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa kelibat Shereen Vallabouy.

Peluang kuartet itu bagaikan sudah tertutup selepas Shereen memaklumkan dia mahu menarik diri daripada menyertai kontinjen negara ke Filipina hujung tahun ini kerana komitmennya terhadap pelajaran di universiti luar negara.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih negara, Manshahar Abdul Jalil ketika dihubungi hari ini.

Manshahar berkata, beliau sudah mengusulkan penyenaraian kuartet 4x400m negara kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini, namun ditolak apabila panel pemilihan mempersoalkan pelari keempat.

“Keputusan untuk menyenaraikan atlet bukan terletak sepenuhnya di tangan saya. Ia perlu dipersetujui oleh pihak yang berkaitan.

“Saya cuba mempertahankan kuartet 4x400m wanita negara untuk dipertimbangkan, namun ditolak selepas Shereen menarik diri daripada temasya kali ini,” katanya.

Katanya, beliau tahu keinginan atlet untuk beraksi pada temasya terbesar Asia Tenggara itu, tetapi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu akur dengan keputusan panel pemilihan.

Terdahulu, bekas atlet pecut negara, Nazmizan Muhammad mempersoalkan mengapa KOM tidak memberi peluang kepada kuartet 4x400m wanita negara ke Sukan SEA sebaliknya menyenaraikan kuartet 4x100m biarpun tiada keputusan memberangsangkan dicatat atlet pecut negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 10:34 PM