NICOL (baju hitam) bergambar dengan pelajar KTJ selepas merasmikan gelanggang skuasy di Mantin, hari ini. — FOTO Adzlan Sidek
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


BEKAS bintang skuasy dunia Datuk Nicol David bersedia untuk menjadi jurulatih jika mendapat tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia berasal dari Pulau Pinang itu berkata, dia mungkin hanya menerima jawatan itu tahun depan atau tahun berikutnya.

“Buat masa ini belum ada tawaran untuk menjadi jurulatih, namun pada masa depan belum tahu lagi dan ia mungkin boleh berlaku demi sama-sama melihat sukan skuasy negara terus cemerlang di persada dunia.

“Tahun ini saya lebih menumpukan perhatian kepada program pembangunan skuasy menerusi kerjasama dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bagi meningkatkan kesedaran terhadap sukan ini di peringkat global dan membina pasukan sokongan untuk pemain skuasy profesional.


NICOL menandatangani plak perasmian gelanggang skuasy KTJ. Turut hadir Presiden SRAM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar (kanan). — FOTO Adzlan Sidek

“Selain itu, saya membantu generasi muda negara menerusi Yayasan Nicol David yang bermatlamat memperkasakan lagi wanita melalui sukan untuk mencapai potensi diri mereka melalui siri ceramah dan penulisan,” katanya.

Nicol ditemui selepas merasmikan gelanggang skuasy yang baru dinaik taraf dengan kos RM300,000 di Kolej Tuanku Ja’afar, Mantin, hari ini.

Dia mengambil keputusan menggantung raket selepas menamatkan musim jelajah PSA 2018-2019 dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 9:09 PM