METKEL dominasi peringkat keempat Tour of Indonesia. — FOTO TSG Terengganu Cycling Team
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TERENGGANU Inc TSG Cycling Team (TSG) meneruskan penguasaan pasukan benua tempatan apabila memenangi peringkat keempat perlumbaan berbasikal Tour of Indonesia, hari ini.

Pelumba dari Algeria, Metkel Eyob memenangi saingan dari Jember ke Banyuwangi sejauh 151.9 kilometer dengan masa empat jam 16 minit 33 saat.

Tempat kedua dimenangi Thomas Lebas dari Kinan Cycling Team diikuti Amir Kolahdozhagh dari Taiyuan Miogee Cycling Team.

TSG turut mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia menerusi pelumba dari Singapura, Goh Soon Huat.

Ia kemenangan peringkat kedua pasukan tempatan selepas Team Sapura Cycling (TSC) menjuarai peringkat ketiga menerusi pelumba dari Australia, Marcus Culey semalam.

TSC kekal mendahului kategori pasukan terbaik dengan mengumpul 40’20:33.

Peringkat terakhir perlumbaan dari Gilimanuk ke Gianyar sejauh 143.6km esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 7:35 PM