Sathianathan akui corak hantaran The Cops lebih baik. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


JURULATIH Selangor, B Sathianathan mengakui perubahan corak permainan lebih agresif pada babak kedua menyelamatkan skuadnya daripada kecundang kepada PDRM pada aksi Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Selepas aksi kurang menarik 45 minit pertama malah turut ketinggalan 0-1 anak buahnya hanya menyerlah pada babak kedua menyamakan kedudukan seterusnya mengatasi lawan 2-1, malam tadi.

The Cops menyamakan kedudukan 2-2 ketika perlawanan berbaki tiga minit ditamatkan.

Menurutnya, dia kecewa dengan fokus kurang jitu di separuh masa pertama kerana mudah dipintas lawan, bola hantaran lintang tersangkut dan pergerakan tidak lancar sehingga lawan berjaya mencipta jaringan.

“Jika mereka mampu melakukan hantaran lebih baik sudah pasti keputusan bakal berbeza termasuk beberapa percubaan lemah, tersasar dan yang tinggi meliar,” katanya.

Sathianathan berkata, lawan hanya memiliki dua peluang di babak kedua membuktikan penguasaan buat pasukan namun gagal menambah jaringan sebaliknya bolos minit-minit akhir disebabkan kelekaan.

Pada masa sama dia memuji persembahan The Cops yang berusaha keras untuk meraih keputusan itu dan bijak menutup ruang.

Baginya, ketiadaan beberapa pemain termasuk Syazwan Zainon membuatkan keserasian sedikit longgar.

Pengendali PDRM, E Elavarasan berkata, pada babak pertama pemain beraksi amat baik namun babak kedua kurang menyerlah dengan aksi dikuasai lawan sekali gus membolehkan mereka meledak dua gol.

Apapun mujur jaringan minit akhir menyelamatkan pasukan daripada menerima kekalahan sekali gus membuka ruang pasukan untuk bersaing dalam kumpulan D.

Katanya, dia juga terpaksa mengambil risiko menurunkan Lee Chang Hoon yang masih cedera sebagai gantian di pertengahan babak kedua untuk memperkuat jentera serangan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tekanan hebat pelawat mendorong dia memasukan Chang Hoon dan akhirnya keputusan yang diambil adalah tepat untuk meraih keputusan erbabit.

Jaringan The Cops menerusi Uche Agba (m-28) dan Chang Hoon (m-87) sementara Selangor menerusi kapten pasukan, Taylor Regan m-69 dan Ifedayo Olusegun (m-80).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:00 PM