DAVID Luiz hadapi tugas getir mengawal benteng daripada ditembusi penyerang Liverpool. - FOTO Reuters
Reuters

DUA kelab kekal rekod 100 peratus musim ini bertembung awal pagi Ahad apabila Liverpool menentang Arsenal di Anfield yang menjadi ukuran sebenar kemajuan kelab London itu.

Skuad Unai Emery bermula cemerlang dengan kemenangan di Newcastle United dan mengatasi Burnley di tempat sendiri tetapi pencabar kali ini bukan sembarangan.

Pada Disember lalu, Arsenal dibelasah 1-5 di Anfield dengan penyerang Brazil, Roberto Firmino menjaringkan hatrik sekali gus menunjukkan jurang besar di antara kelab utara London itu dengan pencabar tulen kejuaraan.

Dalam dua aksi terakhir di Anfield, Arsenal yang dibimbing Arsene Wenger ketika itu turut tewas 0-4 dan 1-3 tetapi kini nasib mereka mungkin lebih baik selepas pembelian beberapa pemain baharu menunjukkan petanda positif.

Pemain tengah, Dani Ceballos yang dipinjam dari Real Madrid pantas mencuri tumpuan selain pertahanan Brazil, David Luiz yang semakin mantap mengawal benteng.

Pemain sayap, Nicolas Pepe muncul senjata tambahan di samping dua penyerang berbisa mereka, Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Pepe yang dibeli dari Lille dengan harga rekod kelab 72 juta pound (RM364 juta) belum lagi tersenarai dalam kesebelasan utama tetapi kelincahannya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian menimbulkan masalah kepada pertahanan Burnley ketika Arsenal menang 2-1.

Juara Eropah, Liverpool yang mengatasi pencapaian kelab dengan 11 kemenangan berturut-turut aksi Liga Perdana tidak kalah di tempat sendiri sejak dua musim lalu dengan kekalahan terakhir di Anfield pada April 2017 di tangan Crystal Palace.

Pengurus, Juergen Klopp masih tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol utama dari Brazil, Alisson Becker dan penjaga gol Sepanyol, Spaniard Adrian bakal mengambil alih tugas.

Juara bertahan, Manchester City yang seri dengan Tottenham Hotspur di tempat sendiri minggu lalu berdepan tugas getir apabila berkunjung ke Stadium Vitality Stadium menentang anak buah Eddie Howe, Bournemouth, Ahad ini.

Spurs pula melayan Newcastle di tempat sendiri dan tampak tiada masalah menewaskan skuad Steve Bruce yang tewas dua perlawanan sebelum ini.

Pendatang baharu, Aston Villa yang masih belum mengutip sebarang mata menentang Everton yang berhasrat menduduki kelompok enam terbaik musim ini manakala Manchester United yang seri ketika menentang Wolverhampton Wanderers Isnin lalu dijangka mampu meraih tiga mata apabila melayan kunjungan Crystal Palace di Old Trafford, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 10:56 AM