NKETIAH (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol Leeds. - FOTO Agensi
AFP

JARINGAN penyerang pinjaman, Eddie Nketiah pada minit ke-81 membolehkan Leeds United menewaskan Brentford 1-0 awal pagi tadi sekali gus merampas kembali teraju Kejuaraan Inggeris.

Pemain berusia 20 tahun itu yang dipinjamkan ke Elland Road dari Arsenal memecah kebuntuan jaringan selepas empat minit dimasukkan sebagai pemain gantian.

Dia menolak bola masuk selepas mendapat hantaran Helder Costa bagi membolehkan Leeds meraih mata ke-10 daripada empat perlawanan.

"Kami berhak menang kerana lebih mendominasi perlawanan. Kami tidak mencipta banyak peluang tapi kami manfaatkan peluang sebaiknya,” kata jurulatih Marcelo Bielsa kepada BBC.

"Ini adalah perlawanan fizikal dan kami menguasai pada saat terbaik perlawanan ini.

"Helder Costa pemain seimbang yang boleh beraksi di kedua-dua bahagian dan Eddie Nketiah boleh mencipta impak di tengah. Kami bertahan dengan baik dan lawan tidak memiliki peluang.”

Swansea di tangga kedua juga dengan 10 mata seleaps menang di QPR 3-1 manakala Fulham di tangga ketiga dengan sembilan mata selepas menang besar 4-0 ke atas Milwall di Craven Cottage.

Dalam satu lagi perlawanan membabitkan dua pasukan dari Liga Perdana yang tersingkir musim lalu, Cardiff menang tipis ke atas Huddersfield 2-1 hasil jaringan Junior Hoilett pada lewat perlawanan.

Stoke kekal tercorot selepas tewas kepada Preston 1-3 dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:51 AM