PEMAIN negara, Amirol Aideed Arshad (tengah) dikepung dua pemain Jepun.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

AIB besar menimpa skuad hoki lelaki negara apabila dibelasah 1-6 oleh Jepun pada penentuan tempat ketiga Kejohanan Ujian Sukan Olimpik di Tokyo, semalam.

Kekalahan itu adalah paling buruk dialami Malaysian Tigers sepanjang pertemuan dengan negara Matahari Terbit itu sejak kedua-dua pasukan bertemu kali pertama pada 1973.

Lebih memalukan, Malaysia menduduki ranking ke-12 dunia berbanding Jepun ke-16.

Pengendali skuad negara, Roelant Oltmans mengakui kelemahan barisan pemainnya terutama di hujung perlawanan sekali gus mereka dihukum dengan kekalahan besar.

“Hari ini (semalam) kami bermain dengan dua prestasi yang sangat berbeza. Aksi separuh masa pertama adalah persembahan terbaik kami sepanjang kejohanan.

“Suku ketiga juga pemain bermain dengan baik tetapi selepas kami melepaskan dua gol, persembahan pasukan berubah menjadi sebaliknya serta berlakunya beberapa kesilapan individu,” katanya.

Skuad negara di depan pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Muhammad Shahril Saabah.

Bagaimanapun Jepun ‘mengamuk’ selepas itu bermula dengan gol penyamaan Hirotaka Zendana minit ke-32 dan mendahului 2-1 selepas Yoshiki Kirishita menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-39.

Jepun memperoleh tiga gol lagi dalam tempoh tiga minit menerusi Kenta Tanaka, Kota Watanabe dan Kirishita masing-masing pada minit ke-43, 44 dan 45.

Zendana melengkapkan kemenangan bergaya Jepun hasil pukulan sudut penalti minit ke-56.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal kecewa dengan prestasi skuad negara selepas menamatkan saingan di kedudukan tercorot daripada empat pasukan bertanding.

“Oltmans beritahu pemain agak kepenatan. Sebagai presiden saya tak boleh terima alasan itu. Sebab anda perlu melakukan persediaan terbaik apabila bertemu walau siapa pun lawan anda,” katanya ketika ditemui pada Program Three Pulse di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Subahan bagaimanapun memahami barisan pemain yang dibawa Oltmans ke Jepun bukanlah yang terbaik.

“Untuk pendedahan kepada pemain muda ia memang langkah baik tetapi mereka juga harus meraih keputusan yang baik,” katanya.

Untuk rekod, skuad negara tewas semua perlawanan di Jepun.

Kejohanan Ujian Sukan Olimpik adalah sebahagian daripada persiapan fasa akhir Malaysia untuk menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:05 AM