PEMAIN tengah Selangor, Faiz Nasir (kiri) diasak pemain PDRM, Fauzan Fauzi di Stadium Hang Jebat, malam ini. — FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


HASRAT Selangor mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila mereka seri 2-2 dengan PDRM pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang Hoon mengecewakan anak buah B Sathianathan apabila dia menjaringkan gol penyamaan tiga minit sebelum wisel penamat.

PDRM, yang seri 1-1 di Shah Alam minggu lalu, mendahului pada babak pertama menerusi Uche Agba pada minit ke-28 apabila dia mengatasi dua pertahanan Red Giants sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Khairul Azhan Khalid.

Selangor, juara Piala Malaysia 33 kali, bagaimanapun bangkit pada babak kedua untuk mendahului 2-1 menerusi jaringan kapten Taylor Regan dan Ifedayo Omosuyi.


AGBA meraikan gol PDRM pada babak pertama. — FOTO BERNAMA

Regan menampan masuk gol penyamaan pada minit ke-68 selepas menyambut hantaran Omosuyi sebelum Omosuyi sendiri meledak masuk gol kedua pada minit ke-80.

Keputusan itu menyukarkan harapan Red Giants untuk layak lebih awal ke suku akhir.

Mereka kekal di tangga kedua Kumpulan D, terikat enam mata dengan pendahulu Melaka United namun dipisahkan dengan perbezaan gol manakala PDRM turut berpeluang dengan lima mata selepas empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:29 PM