Tracey (dua kanan) bersama ketua pasukan, (dari kiri) An Najwa Azizan, Pengurus pasukan, Zainon Md Noh dan Nur Syafazliyana Mohd Ali. FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KETUA jurulatih bola jaring Malaysia, Tracey Robinson mengakui berpuas hati dengan persiapan skuad bimbingannya dalam misi mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Katanya, persiapan pasukan berjalan lancar termasuk menyertai pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara.

"Saya gembira dengan persiapan pasukan kami setakat ini. Kami menyertai pertandingan antaranya di Hong Kong dan Sri Lanka.

"Selepas ini skuad negara akan ke Australia untuk kejohanan jelajah bola jaring di Pert pada 27 Ogos hingga 2 September depan dan di Brisbane pada 10 September hingga 17 September.

"Kita akan bermain dengan pasukan bola jaring terkenal di sana yang memiliki teknik permainan berbeza," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Menurutnya, beliau juga berpuas hati dengan komposisi pasukan yang diperkuat gandingan pemain berpengalaman serta enam hingga tujuh pemain baru.

Untuk rekod pasukan bola jaring negara menewaskan Singapura, 65-41 pada Sukan SEA (KL2017) edisi ke-29 sekali gus menamatkan kemarau pingat emas selepas 16 tahun di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:25 PM