Kurt Zouma (kiri) menghalang penyerang Liverpool, Sadio Mane pada aksi Piala Super UEFA baru-baru ini. FOTO AFP
Reuters

PERTAHANAN Chelsea, Kurt Zouma berkata penyenaraiannya semula dalam kesebelasan utama pasukan itu adalah kemuncak selepas tiga tahun terpaksa berhempas pulas selain dihimpit kecederaan serius dan dipinjamkan ke dua kelab Liga Perdana.

Zouma, yang mengalami kecederaan lutut pada 2016 menyebabkan dia tersisih selama sembilan bulan, dipinjamkan ke Stoke City dan Everton dalam dua musim lalu sebelum pengurus baharu Chelsea, Frank Lampard menjadikannya sebahagian daripada perancangan pasukan utama.

“Ia adalah perjalanan yang amat panjang,” kata Zouma. “Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu sekarang, kerana ia adalah perkara lampau namun saya berjuang habis-habisan.

“Orang tidak tahu, orang tidak lihat tetapi saya terus dibayangi, kerja keras untuk kembali semula kerana saya menempuhi kecederaan yang sangat teruk. Saya berehat hampir setahun (jauh dari pasukan utama) namun orang melupakan itu.

“Tetapi saya sentiasa percaya pada diri sendiri. Keluarga saya sentiasa berada di belakang untuk menyokong saya dan kini saya kembali di sini. Saya gembira dapat beraksi di sini, saya akan terus berusaha.”

Zouma beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dalam tiga perlawanan awal musim ini dan begitupun menunjukkan prestasi di luar kemampuan ketika tewas 0-4 dalam perlawanan pembukaan di Manchester United, Lampard masih menaruh harapan kepada pemain Perancis berusia 24 tahun itu ketika wakil London itu mencari kemenangan pertamanya.

“Ini yang saya mahukan,” tambah Zouma. “Saya berada dalam kelab besar dan semua orang mahu bermain. Persaingan begitu kuat dan banyak pemain berbakat, jadi bila dalam latihan anda perlu melakukan cara betul.”

“Ada pemain yang kembali semula, seperti saya dan pemain lain, pemain muda yang bersama-sama pasukan. Sekarang kami cuba memahami antara satu sama lain. Kami hanya perlu lebih klinikal dan mencatat kemenangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:57 PM