Tunku Imran (tengah) bersama (dari kiri) Muhammad Fadhil, Muhammad Shah Firdaus, Anis Amira Rosidi, dan Beasley. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


SKUAD Sime Darby (YSD) Track Cyling Team kini berada dalam landasan tepat dalam mempersiapkan barisan pelumbanya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan.

Dua pelumbanya, Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis berpeluang untuk menempah tiket ke Tokyo bersama-sama jaguh negara, Azizulhasni Awang yang bakal diketahui pada April tahun depan.

Pasukan itu diperuntukkan RM2.6 juta dari YSD bagi tempoh Februari 2017 hingga Disember 2020 dalam memastikan misi berkenaan tercapai.

Sehingga kini mereka sudah menyertai 42 pertandingan dengan meraih 66 kedudukan podium termasuk mencapai 18 emas bagi lelaki dan wanita.

Antara kejayaan dicapai adalah emas di Sukan SEA 2017 menerusi Fadhil dalam 1km ujian masa, emas menerusi Farina Shawati Mohd Adnan dalam pecut berasukan di Sukan SEA 2017, juara keirin GP Dublin menerusi Anis Amira Rosidi dan emas pecut berpasukan GP Asia Tenggara menerusi Shah Firdaus, Fadhil dan Muhammad Khairil Nizam Rasol.

"Ia adalah komitmen yang besar bagi kami dan pencapaian mereka yang meraih podium dalam pertandingan adalah sesuatu yang membanggakan," kata Pengerusi YSD, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja,afar pada pertemuan bersama pasukan trek berkenaan yang diketuai ketua jurulatih negara, John Beasley.

Komitmen YSD bermula sejak Olimpik 2012 apabila mereka memperuntukkan RM2 juta bagi tempoh 30 bulan dari Januari 2010 hingga Jun 2012 dengan jaguh negara, Azizulhasni mara sehingga ke final acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 9:11 PM