POGBA (tengah) dikasari dalam kotak penalti tetapi gagal menyempurnakannya di Stadium Molineux. - FOTO EPA
AFP

OLE Gunnar Solskjaer enggan menyalahkan Paul Pogba yang gagal menyempurnakan penalti selepas dia mengambil tugas itu daripada Marcus Rashford ketika menentang Wolves dalam perlawanan berkesudahan seri 1-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Pogba terlepas peluang memberikan kemenangan kedua berturut-turut United dalam aksi Liga Perdana apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol Wolves, Rui Patricio pada minit ke-67.

Kegagalan itu yang keempat buat Pogba sejak permulaan musim lalu. Bintang Perancis itu memberitahu Rashford dia mahu mengambil sepakan walaupun rakan sepasukannya itu menjaringkan penalti ketika menewaskan Chelsea minggu lalu.

Pengurus United, Solskjaer berkata, Pogba dan Rashford di antara pemain yang diberi tugas mengambil sepakan penalti.

"Kedua-duanya memang diberi tugas itu dan terpulang kepada mereka menentukan siapa lebih berhak menyempurnakannya,” katanya

"Ada kalanya pemain berasa sangat yakin menjaringkan gol. Paul sudah banyak menjaringkan penalti tetapi hari ini bukan hari dia dan Rui Patricio cemerlang menghampakan kami.

"Kedua-duanya sangat yakin dan saya suka sikap ini kerana mereka yakin melakukannya.”


AKSI tangkas Patricio menyelamatkan sepakan penalti Pogba. - AFP

Bekas bintang United, Gary Neville pula menggesa Solskjaer menyelesaikan masalah itu daripada berulang.

"Mereka perlu menentukan dalam bilik persalinan siapa pengambil sepakan penalti, ia sangat memalukan,” katanya kepada Sky Sports.

Dalam perlawanan di Stadium Molineux itu, skuad Solskjaer menguasai babak awal permainan dan mendahului pada minit ke-27 apabila Martial menyudahkan hantaran Rashford untuk jaringan ke-50nya untuk kelab dalam semua kejohanan.

Tetapi Wolves yang menewaskan United dalam aksi liga dan Piala FA di tempat sendiri musim lalu bangkit pada babak kedua selepas kemasukan pemain gantian, Adama Traore di bahagian sayap.

Hasilnya pada minit ke-55, Neves yang menerima bola daripada sepakan sudut meledak rembatan menarik di luar kotak penalti tanpa dapat diselamatkan penjaga gol, David de Gea.

Jaringan itu disahkan VAR selepas pemain United mendakwa Joao Moutinho terlebih dahulu offsaid sebelum jaringan penyamaan Wolves itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:09 AM