Tchetche (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan Terengganu ketika menewaskan Negeri Sembilan. FOTO BERNAMA
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


DI sebalik hatrik yang dilakar penyerang Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche ketika membenam Negeri Sembilan kelmarin, terselit perasaan sedih buat pemain kelahiran Ivory Coast itu.

Malah pemain itu mengakui sukar untuk melelapkan mata selepas perlawanan itu apabila mengenangkan pemergian rakan baiknya yang juga penjaga gol utama TFC, Mohd Suffian Abd Rahman yang menghembuskan nafas terakhirnya kurang lapan jam sebelum perlawanan menentang skuad Hobin Jang Hobin itu.

Penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu dengan sembilan gol itu turut mengakui tidak begitu ghairah untuk bermain tetapi mengagahkan diri demi peminat selain melihat langit setiap kali menghasilkan jaringan sebagai tanda menghadiahkan gol itu kepada Suffian.

"Bagi saya ia perlawanan penuh emosi kerana kami baru kehilangan rakan sepasukan beberapa jam sebelum sepak mula.

”Ia berlaku begitu pantas selepas hanya dua minggu tidak berjumpa, saya begitu sedih sehingga sukar melelapkan mata pada malam itu.

"Kami bermain dengan baik dan cuba melupakan kesedihan itu selain mahu mendedikasikan perlawanan buat Suffian kerana dia (arwah) banyak menyelamatkan gawang gol ketika menentang JDT pada separuh akhir musim lalu," ujar Tchetche.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Tchetche meledak tiga gol bagi membantu pasukannya menumpaskan skuad NS 3-1.

"Saya gembira dengan tiga gol itu tetapi apa lebih penting adalah kemenangan menjadi keutamaan pasukan dan harapan penyokong yang sentiasa memenuhi stadium sebaik saingan Piala Malaysia bermula.

"Kami perlu terus fokus dan harus terus menang, kami sudah ada sembilan mata dan perlu berusaha untuk mendapat tiga mata lagi dan seterusnya layak ke suku akhir," kata Tchetche mengakui perlawanan malam itu adalah antara permainan terbaiknya walaupun adakalanya tertekan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:11 PM