Aidil (tengah) mahu skuad Kedah pertingkat jentera serangan. FOTO fail NSTP
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu ketajaman serangan dipertingkatkan dalam usaha memburu tiga mata pada perlawanan keempat kumpulan A Piala Malaysia menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Ia merupakan misi penting buat skuad Lang Merah selepas gagal memungut mata penuh tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) diikuti keputusan seri 1-1 ketika menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

"Faktor ketajaman akan terus diberi perhatian dan penekanan itu penting dalam usaha kami untuk memburu tiga mata pada perlawanan kali ini.

"Selepas dua perlawanan tanpa mata penuh, kami perlu bangkit segera untuk membuktikan aksi sebenar dilaman sendiri bagi mengekalkan rentak yang meyakinkan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

"Kami perlu terus fokus, memberi komitmen tinggi sepanjang perlawanan itu walaupun kami sedar ianya bukan tugas mudah apabila berdepan PKNS FC kerana sedikit kesilapan atau kelekaan membawa padah."

Aidil membawa Kedah menjuarai Piala FA musim ini berharap kelemahan pada perlawanan lalu menjadi iktibar.

"Memang kita membuat berbagai perancangan dan menyusun strategi terbaik pada perlawanan sebelum ini namun kali ini, kita perlu teruskan menggandakan usaha mencapai sasaran.

Mengenai status dua pemain utama sebelum ini dikaitkan dengan kecederaan iaitu Azmeer Yusof dan Farhan Roslan, Aidil belum dapat mengesahkannya setakat ini.

"Saya berharap mereka sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan, namun kepastian mengenai perkara itu cuma akan diketahui esok samada mereka sudah bersedia menggalas cabaran seterusnya.

"Kali terakhir Kedah menang dilaman sendiri ketika menentang Perak dalam aksi Liga Super pada 13 Julai sebelum tewas 0-2 kepada Terengganu FC pada 8 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:50 PM