DURAKOVIC.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


IPOH: Gagal menyempurnakan peluang dicipta dan melakukan kesilapan membuatkan Perak dihukum di laman sendiri hingga kempunan mengutip tiga mata menentang Pulau Pinang dalam Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Perak, malam kelmarin.

Jurulatih Mehmet Durakovic hampa persembahan anak buahnya yang sepatutnya ‘menamatkan’ keputusan malam kelmarin pada separuh masa pertama lagi melalui kemenangan mudah dengan jaringan besar.

“Secara jujurnya kami bermain amat bagus pada separuh masa pertama, kami sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya tiga atau empat gol. Babak kedua sekali lagi kami menguasai permainan dengan beberapa peluang, namun gagal disempurnakan.

“Pulau Pinang mendapat satu peluang dan mereka menjaringkan gol dan itu tuah yang baik untuk mereka,” katanya yang menyaksikan Perak sekadar seri 1-1.

Sekalipun membuat beberapa pertukaran pemain pada babak kedua dengan harapan dapat mempertajamkan serangan beliau kecewa Pulau Pinang memperkemaskan benteng mereka.

“Hanya satu serangan balas mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan.

“Tidak mudah bagi kami menembusi kubu pelawat terutama di babak kedua jadi kami masukkan pemain gantian tetapi pujian bagi Pulau Pinang kerana bertahan dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:01 AM