Ashley Cole. FOTO File Reuters
Agensi

BEKAS pertahanan kiri England, Arsenal dan Chelsea, Ashley Cole mengumumkan persaraan bermain bola sepak.

Cole, 38, sudah tamat kontrak bermain di Derby County pada penghujung musim 2018-19 dan berkata dia kini memberi tumpuan kepada bidang kejurulatihan.

Dia membuat penampilan di Arsenal pada 1999 dan kemudian beraksi untuk Crystal Palace kerana dipinjamkan, diikuti berkelana ke Chelsea, Roma, LA Galaxy dan Derby.

“Selepas memikirkan sepuas-puasnya ini adalah masa untuk menggantung kasut boot dan melihat pada tahap seterusnya.” kata Cole.

Cole berkata dia sedang mengikuti latihan dalam usaha melangkah ke bidang kejurulatihan.

Pemain pertahanan yang berasal dari London mempunyai 107 kaps bersama England dan antara pemain bola sepak yang mencipta sejarah memeriahkan saingan Piala FA dengan kejayaan memenangi tujuh kali trofi.

Dia juga memenangi kejuaraan Liga Perdana dua kali bersama Arsenal - termasuk aksi tanpa kalah Gunners pada musim 2003-2004 - dan satu bersama Chelsea selepas berpindah ke Stamford Bridge pada 2006.

Cole memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2011-12 dan Piala Europa musim berikutnya.

Selepas menyertai Derby County pada Januari, dia bekerja di bawah pengurusan bekas rakan sepasukannya di Chelsea, Frank Lampard dan membantu kelab itu beraksi sehingga final play-off Liga Kejuaraan sebelum tewas kepada Aston Villa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:59 PM