PEMAIN Terengganu menghadiahkan kemenangan kepada arwah Suffian. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


“KEMENANGAN menumpaskan Negeri Sembilan malam ini (malam tadi) kami hadiahkan kepada arwah Mohd Suffian Abd Rahman," kata pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain.

Bagaimanapun sebelum perlawanan bermula, beliau mengakui emosi anak buahnya sedikit terganggu memandangkan pemergian Mohd Suffian kurang lapan jam sebelum sepak mula.

Namun Nafuzi menyatakan selepas mendapat suntikan semangat daripada barisan jurulatih dan juga pihak pengurusan, anak buahnya kembali bersemangat biarpun sukar untuk melupakan pemergian penjaga gol itu.

"Emosi pemain dan pegawai memang terasa dengan apa yang terjadi kepada penjaga gol itu yang sememangnya begitu rapat sesama pemain dan juga pegawai.

"Tapi biarpun sedih dan terkejut dengan pemergian Mohd Suffian, saya sudah maklumkan kepada pemain yang bakal beraksi malam ini (malam tadi) supaya perlu tabah dan beraksi bersungguh-sungguh untuk menghadiahkan kemenangan kepada arwah.

"Saya juga pesan kepada pemain agar setiap minit aksi mereka perlu bermain untuk arwah kerana penjaga gol itu adalah antara watak utama dan wira pasukan musim lalu sehingga mara ke pentas final Piala Malaysia.

"Alhamdulillah rezeki pada malam ini (malam tadi), pemain membuktikan kemampuan sebenar mereka dan seterusnya berjaya melakar kemenangan begitu bermakna khas buat Mohd Suffian," katanya.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu dengan sembilan gol, Kipre Tchetche mencipta hatrik pertamanya musim ini untuk menumpaskan Negeri Sembilan 3-1.

Mohd Suffian yang dilahirkan di Melaka namun menetap di Negeri Sembilan itu kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga M) pada pertengahan 2017 dengan memilih pasukan TFC biarpun sudah mengumumkan persaraan dan sudah bergelar jurulatih.

Pemain yang lebih mesra dipanggil Tiger menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.10 petang semalam akibat masalah jantung di rumah bapa mentuanya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus disisi isterinya, Nurmunirah Mohd dan ahli keluarganya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:57 PM