RAMSEY (kanan) buat penampilan pertama bersama Juve. FOTO/AGENSI
AFP

AARON Ramsey membuat penampilan pertamanya buat juara Itali Juventus awal pagi tadi menerusi aksi terakhir persahabatan pra-musim dengan kemenangan 1-0 ke atas kelab Serie C Triestina.

Pemain tengah Wales dan bekas bintang Arsenal, menandatangani kontrak empat tahun pada Februari dilaporkan bernilai tujuh juta euro (RM32.4 juta) semusim, menggantikan Federico Bernardeschi pada minit ke-70 dalam aksi di Trieste.

“Ia detik yang membanggakan saya dapat menyarung jersi terkenal ini,” kata Ramsey yang tidak pernah beraksi sejak April susulan kecederaan hamstring.

“Saya gembira dapat beraksi beberapa minit di sini. Saya bekerja keras untuk kembali cergas dan diharapkan kekal cergas selepas ini.

“Saya sedar saya jarang bermain di padang, selain malam ini tetapi secara fizikalnya, saya rasa bagus. Saya memerlukan beberapa perlawanan untuk sampai ke tahap itu.”

Ramsey menang tiga Piala FA sepanjang 11 tahun bersama Arsenal dan menggalas watak penting buat Wales untuk mara ke separuh akhir Euro 2016.

“Saya benar-benar teruja menjadi sebahagian daripadanya dan merasai liga Itali,” katanya.

“Kami bermula pada Sabtu, jadi saya tidak sabar menanti untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif pertama.

Bintang Portugal Cristiano Ronaldo tidak menyertai kunjungan ke timur laut Itali susulan masalah otot manakala jurulatih Maurizio Sarri juga tidak hadir akibat selesema.

Jaringan Paulo Dybala pada minit ke-38 sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat juara bertahan Serie A itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:10 PM