MCILROY (tengah) dibantu polis pengiring untuk membuat pukulan. FOTO/AFP
Reuters

TUJUH tahun selepas Rory McIlroy dibantu polis pengiring untuk membuat pukulan tee pada Piala Ryder, sejarah berulang kembali apabila pemain Ireland Utara itu diberikan layanan sama pada pusingan ketiga Kejohanan BMW di Chicago.

Pada 2012, ia satu insiden yang sukar dielak apabila McIlroy yang juga anggota skuad Eropah keliru dengan waktu pertandingan hari terakhir di Medinah sebelum pegawai polis menyelamatkannya dengan segera mengiringinya ke lapangan.

Kali ini suasananya lebih santai buat McIlroy yang menerima tawaran polis pengiring untuk mengenang kembali kejadian itu.

Dia disambut sebaik ketibaannya di lapangan itu dengan pegawai sama yang mengiringinya pada 2012.

Pengacara di tee pertama kemudiannya mengambil kesempatan dengan berseloroh kepada McIlroy.

“Dari Ireland Utara, yang kali ini tepat pada masanya, juara Piala FedEx 2016, dialu-alukan kedatangan Rory McIlroy,” katanya ketika pemain itu tersenyum.

McIlroy mencatat dua di bawah par 70 untuk berkongsi tangga ke-13 di belakang pendahulu Justin Thomas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 11:52 AM