MEDVEDEV menewaskan Djokovic 3-6, 6-3, 6-3 untuk mara ke pusingan akhir Masters Cincinnati. FOTO/AFP
AFP

PEMAIN tenis nombor satu dunia Novak Djokovic tunduk dengan tekanan diberikan Daniil Medvedev hari ini apabila tewas 3-6, 6-3, 6-3 kepada pilihan kesembilan dari Russia itu pada aksi separuh akhir Masters Cincinnati.

Kemenangan mengejut Medvedev membawanya ke pertarungan memburu gelaran menentang seorang lagi finalis kejutan, pilihan ke-16 dari Beligum David Goffin, yang menewaskan pemain Perancis Richard Gasquet 6-3, 6-4 untuk mara ke kejohanan ATP Masters 1000 buat kali pertama.

Djokovic yang berang, yang pada mulanya berjaya mengawal perlawanan, terperangkap dengan aksi Medvedev yang semakin garang pada set kedua.

“Saya tidak tahu bagaimana saya mengubahnya, saya keletihan selepas set pertama dan saya fikir saya tidak mampu bertahan dengan intensiti permainan,” kata Medvedev yang bertanding dalam 15 perlawanan gelanggang keras sejak 30 Julai lalu.

“Namun saya mempunyai peluang meningkatkan momentum pada set kedua dan penyokong memberikan saya tenaga,” kata pemain Russia itu yang akan beraksi dalam final siri Masters keduanya dalam tempoh lapan hari selepas tewas kepada Rafael Nadal di Montreal Ahad lalu.

“Novak mematahkan permainan saya pada servis kedua jadi saya cuba merebutnya kembali,” kata Medvedev.

“Seronok dapat menang dan menewaskan pemain nombor satu dunia. Ini menunjukkan saya berhak ke final.

“Saya bermain dalam perlawanan luar biasa. Saya sungguh gembira.”

Medvedev turut menewaskan Djokovic pada pertemuan terakhir mereka di gelanggang tanah liat pada kejohanan di Monte Carlo, April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 11:09 AM