WOOI Yik (kanan) sasar bawa pulang satu pingat buat negara. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

SELEPAS melakar kejutan muncul naib juara Seluruh England tahun ini, pemain beregu lelaki, Soh Wooi Yik menyimpan hasrat yang sama menjelang Kejohanan Dunia bermula esok.

Dia yang bergandingan dengan Aaron Chia mengakui mempunyai motivasi tinggi untuk beraksi di Basel, Switzerland walaupun sedar laluan mereka bukannya mudah.

“Kejohanan Dunia memang sama tahap dengan Seluruh England, tapi yang membuatkan kami bersemangat pada kejohanan ini adalah kerana pemain negara belum pernah muncul juara,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Ujar Wooi Yik, kesukaran itu yang menyebabkan perasaan mereka membuak-buak untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat buat negara.

“Motivasi untuk bermain pada Kejohanan dunia lebih tinggi berbanding Seluruh England. Kami juga tidak berasa tertekan kerana masih muda.

“Bagaimanapun, saya rasa undian kami agak sukar terutama perlu berdepan pilihan kedua dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada pusingan ketiga. Kami sudah beberapa kali bertemu mereka dan dua aksi terakhir agak sengit namun kali ini kami lebih bersedia,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan, Wooi Yik yang juga anak saudara legenda beregu lelaki negara, Soo Beng Kiang mengakui mereka fokus kepada membina kekuatan mental.

“Kami kalah bukan tidak sampai pada tahap sebenar berbanding pasangan lain, tapi kerana kelemahan mental. Jadi, kali ini kami belajar daripada pengalaman lalu dan harap mampu memberi yang terbaik di Basel,” katanya.

Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking ke-10 dunia, mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama. Menanti mereka di pusingan kedua adalah pemenang antara Takuto Inoue-Yuki Kaneko (Jepun) dan Arun George-Sanyam Shukla (India).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:31 AM