Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) pada majlis pelancaran LTdF pada Mei lalu. FOTO File NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


JELAJAH berbasikal wanita pertama di Malaysia Le Tour de Femina (LTdF) 2019 dipinda berbanding tarikh asal dari 7 hingga 12 September 2019.

Menurut penganjur, Ciclista Sports Sdn Bhd, keputusan untuk menunda perlumbaan ini dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama dengan pihak berkepentingan acara berkenaan.

“Penganjur memutuskan untuk menunda LTdF 2019 ke tarikh baharu yang ditetapkan selepas mendapat persetujuan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) iaitu pada 16 hingga 21 November.

“Keputusan berkenaan dipersetujui selepas perbincangan secara serius membabitkan penganjur, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta para penaja yang diadakan minggu lalu dan seterusnya tarikh baru diusulkan kepada pihak UCI,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports Sdn Bhd, Shahirudeen Seeni.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan perlumbaan yang diktiraf UCI itu tetap akan dianjurkan pada tahun ini.

“Susulan kelulusan tarikh yang diusulkan oleh UCI, pihak penganjur sudah melaksanakan tugas tugas yang dirancang bagi memastikan kelancaran perlumbaan,” tambahnya.

LTdF 2019 anjuran Ciclista Sports dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan PKBM, merupakan antara usaha untuk memperkasa perkembangan berbasikal dan sukan di kalangan wanita selain menjadikan Malaysia antara hab utama sukan berbasikal wanita di rantau ini.

UCI juga masih mengekalkan jumlah enam peringkat bagi perlumbaan LTdF 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 11:37 PM