Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) cuba melepasi pertahanan Pulau Pinang, Kang Seungjo pada aksi Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PERAK hanya mampu mengutip satu mata apabila diikat 1-1 oleh Pulau Pinang dalam perlawanan ketiga Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Tuan rumah nyata menguasai permainan terutama pada separuh masa pertama dengan mencipta beberapa peluang.

Gol Perak terhasil pada minit ke-11 hasil jaringan Ronaldo Henrique Silva yang mendapat hantaran lintang J Partiban.

Anak buah Jurulatih Mehmed Durakovic terus mengasak namun beberapa peluang dicipta gagal disudahkan.

Pasukan pelawat cuba membuat beberapa serangan pantas pada babak pertama untuk mencari gol penyamaan tetapi gagal menembusi kubu lawan.

Babak kedua Perak terus berusaha menambah jaringan namun tidak berjaya malah melakukan kesilapan.

Kealpaan tuan rumah yang mudah hilang kawalan bola dihukum Pulau Pinang dengan serangan balas pantas.

Penyerang Anselmo Casagrande bijak mencuri peluang terhidang dengan menewaskan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pada minit ke-63.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu Perak mengatur kembali serangan namun tidak dapat menambah jaringan dan keputusan seri kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 11:02 PM