Hamidin (dua kanan) ketika sesi pertemuan dengan pemain B-18 negara baru-baru ini. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


AUSTRALIA akan berdepan Malaysia pada final Kejohanan Bawah 18 (B-18) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Isnin ini, selepas menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Bing Duong, Vietnam, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus mengulangi episod perlawanan pada peringkat kumpulan apabila skuad kendalian Brad Maloney berjaya menewaskan pasukan sama 3-0 sebelum ini.

Myanmar terlebih dahulu mencipta kejutan menerusi jaringan La Min Hitwe pada minit ke-18.

Australia hanya memperolehi gol pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Brook Ricky Lachlan pada minit 57.

Pemain Australia Kai Clifton Tremin menjadi pemusnah impian Myanmar untuk beraksi di pentas final apabila menyumbat gol kemenangan pada minit 77 berpunca daripada sepakan penjuru.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad muda negara bakal bertemu sekali lagi dengan Australia di pentas final.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kesungguhan serta komitmen yang tinggi ditunjukkan kesemua pemain negara sepanjang permainan amat membanggakan.

"Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai-pegawai lain.

“Pujian juga harus diberikan kepadapengurus pasukan yang juga merangkap exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam,” katanya menerusi laman web FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 10:50 PM