Muhammad Azeem bersama bapanya, Mohd Fahmi Tajuid (kanan) ketika hadir menyaksikan Kejohanan Olahraga KOM di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO Owee Ah Chun
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PELARI sensasi remaja, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mengakui tidak terkilan selepas membuat keputusan untuk tidak menyertai Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Malah atlet berusia 15 tahun berkenaan menyifatkan ia adalah keputusan tepat yang dilakukan dirinya, keluarga dan jurulatih.

"Perasaan memang ada (untuk ke Sukan SEA) namun perlu bersabar... banyak lagi masa dan saya perlu meningkat selangkah demi selangkah.

"Ia keputusan yang tepat dan untuk berjaya perlu lebih banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Namun pada edisi 2021, sekiranya berpeluang saya akan wakil negara ke Sukan SEA," katanya ketika di temui ketika hadir menyaksikan Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Bukit Jalil, hari ini.

Terdahulu bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizam Muhammad menggesa Azeem diberikan peluang ke Filipina selepas mempamerkan prestasi membanggakan.

Bukan diletakkan sebagai sandaran pingat namun menurut Nazmizam melihatnya pendedahan bagi menjadikannya atlet yang lebih baik.

Bagaimanapun pandangan berkenaan tidak mendapat restu ramai pihak yang menyifatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat terlalu muda untuk diberikan pendedahan peringkat senior.

Catatan peribadi terbaik Azeem yang dilabel "Usain Bolt" Malaysia dalam acara 100m adalah 10.63s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga MSSM pada April lalu.

Bagi 200m, catatan terbaiknya adalah 21.15s yang dilakukan di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen, Thailand, awal bulan ini.

"Saya kini kembali memberi fokus kepada pelajaran terutamanya dalam hadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang semakin hampir," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 8:15 PM