Aksi pemain Malaysia menentang India. FOTO Ihsan FIH
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


SKUAD bimbingan Roelant Oltmans bermula sumbang di Kejohanan Ujian Sukan Olimpik apabila dibelasah India 0-6 di Tokyo hari ini.

Malaysia yang kali terakhir bertemu India di Piala Sultan Azlan Shah, Mac lalu jelas tidak mampu untuk menghalang kehebatan Gursahibjit Singh dan Mandeep Singh selepas kedua-duanya muncul wira meledak dua gol.

Skuad negara dibolosi seawal minit kelapan hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Varun Kumar.

India terus memberi tekanan kepada skuad hoki negara 10 minit kemudian apabila Gursahibjit Singh berjaya menyempurnakan jaringan padang.

Sebaik bersambung babak kedua, India berjaya menyumbat gol kedua, menerusi Mandeep Singh hasil jaringan padang pada minit ke-34.

Mandeep berjaya mencetak gol kedua peribadinya juga menerusi gol padang pada minit ke-47.

Hasrat untuk melihat Malaysia bangkit semakin sukar apabila Gursahibjit menyumbat gol kelima pada minit ke-56, sebelum Sunil Sowmarpet melengkapkan kemenangan India empat minit kemudian dengan gol keenam.

Ketika bertemu India Mac lalu di Stadium Azlan Shah, Ipoh pasukan Malaysia tumpas 2-4 pada aksi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 8:13 PM