Larian Cabaran Lebuhraya Besraya mendapat sambutan.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


LARIAN Cabaran Lebuhraya Besraya pada 24 Ogos ini bakal menyaksikan penyertaan seramai 7,000 peserta dengan penganjur melakukan kelainan apabila saingan akan berlangsung pada waktu malam.

Larian itu adalah salah satu daripada dua larian di bawah anjuran Cabaran Lebuhraya Duo IJM Allianz dengan larian pertama dinamakan Cabaran Lebuhraya NPE sudah pun berlangsung Julai lalu membabitkan seramai 9,000 peserta.

Cabaran Lebuhraya Besraya juga menawarkan cabaran lebih sukar apabila jarak larian lebih panjang iaitu 13 dan 26 kilometer (km).

Pengarah Urusan Kumpulan EC Pixels, Eugene Chan berkata, selepas mengendalikan larian itu sejak dua tahun lalu, pihaknya mahu melakukan kelainan.

"Kami mengambil keputusan untuk menganjurkan larian Cabaran Lebuhraya Besraya pada waktu malam.

"Ia membolehkan peserta berpeluang menikmati suasana pada waktu malam di tengah-tengah lebuh raya. Sebagai faktor keselamatan, lebuh raya akan ditutup sepenuhnya," katanya.

Cabaran Lebuhraya Besraya akan bermula 24 Ogos jam 8 malam. Larian akan bermula jam 9 malam untuk saingan 26 km manakala 9.30 malam bagi saingan 13km.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 7:05 PM