GIMONDI, salah seorang daripada tujuh pelumba yang memenangi kesemua tiga Jelajah Utama. FOTO AFP
Reuters

BEKAS pelumba basikal Itali, Felice Gimondi, salah seorang daripada tujuh pelumba yang memenangi kesemua tiga Jelajah Utama meninggal dunia pada usia 76 tahun selepas mengalami serangan jantung ketika berenang di Sicily hari ini.

“Seorang jaguh hebat yang menjadikan sukan ini lebih manusiawi meninggalkan kami, lelaki yang hebat,” kata persekutuan berbasikal Itali dalam satu kenyataan.

Gimondi menang Tour de France pada 1965 dalam musim pertamanya sebagai pelumba profesional ketika berusia 22 tahun.

Gimondi kemudiannya menjuarai Giro d'Italia dua tahun kemudian dan Vuelta a Espana pada 1968.

Gimondi turut menjuarai Giro pada 1969 dan 1976 untuk mengumpul lima gelaran Jelajah Utama. Beliau bersara pada 1978.

Jacques Anquetil, Eddy Merckx, Bernard Hinault, Alberto Contador, Vincenzo Nibali dan Chris Froome adalah enam lagi pelumba yang menang ketiga-tiga Jelajah Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 12:49 PM