WOODS cuba mempertahankan gelaran yang dimenangi di East Lake tahun lalu. FOTO EPA
AFP

TIGER Woods berkata dia berasa ‘semakin baik’ selepas menarik diri minggu lalu akibat kesakitan otot tetapi juara kejohanan utama 15 kali itu tetap bimbang menjelang Kejuaraan BMW.

Paling menggusarkan Woods menjelang aksi awal pagi Jumaat di Medinah, Chicago untuk memburu kejuaraan pertama sejak menjulang Masters pada April adalah terus beraksi sehingga kejohanan pemanat musim Kejuaraan Jelajah PGA Amerika Syarikat di Atlanta.

Berada di kedudukan ke-38 dalam senarai pungutan mata musim ini, Woods berharap dapat menghampiri penyudah kelompok 11 terbaik untuk berada dalam kelompok 30 teratas pungutan mata demi peluang mempertahankan gelaran yang dimenangi di East Lake tahun lalu, kemenangan pertamanya sejak 2013.

“Tiada bezanya minggu ini,” kata Woods.

“Saya cuba menang kejohanan ini seperti juga yang lain dan cuba layak ke East Lake dan berada di tempat yang banyak mengubah diri saya tahun lalu dan saya berharap ia boleh menjadi kenyataan.”

Woods, yang menduduki ranking keenam dunia mencetuskan kebimbangan terhadap kecergasan fizikalnya dengan menarik diri daripada kejohanan Northern Trust di Liberty National susulan kecederaan yang meletakkannya di luar daripada kelompok 30 teratas.

Selepas beraksi pada sembilan lubang pertama dalam kejohanan pro-am awal pagi tadi, membuat pukulan penuh sejak menarik diri minggu lalu, Woods hanya membuat pukulan chip dan putt pada sembilan lubang terakhir berkata dia lega dengan rehat tambahan dan berasa ‘semakin baik’.

“Seronok dapat berehat dan saya hanya perlu bertenang dan merawat kesakitan, semuanya menjadi semakin baik,” kata Woods.

Woods berkata gangguan pada hayunan mencetuskan kecederaan terbaharu.

“Jika tidak perkara ini, ia mungkin perkara lain. Ia berlaku begitu saja,” kata Woods.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 11:44 AM