NISHIOKA ketika menewaskan idola yang juga rakan senegara Kei Nishikori. FOTO AFP
AFP

YOSHIHITO Nishioka melakar kejutan awal pagi tadi apabila menewaskan idola yang juga rakan senegara Kei Nishikori 7-6 (7/2), 6-4 di kejohanan ATP Masters Cincinnati.

Nishikori, pilihan keenam kejohanan yang juga pemain ranking tertinggi Asia, tewas kepada rakan senegara di ranking ke-77 yang tampil selaku pemain kelayakan dalam tempoh 90 minit.

Bagi pemenang perlawanan itu, kejayaan di pusingan kedua itu sudah dianggap terlalu hebat.

“Saya teruja dapat bermain dengannya, kerana dia adalah wira tenis Jepun, tenis Asia,” kata Nishioka.

“Saya tidak boleh tidur semalam. Saya kenal dengannya. Saya menontonnya sejak kecil. Banyak yang saya pelajari daripadanya.

“Saya cuba mencari kelemahannya, saya hanya mahu menjadi yang terbaik menentang wira saya.

“Ini pengalaman yang amat penting bagi saya. Hari ini banyak yang saya pelajari daripadanya. Perkara yang paling penting adalah bermain dengannya.”

Nishikori, finalis Terbuka Amerika Syarikat 2014 tidak pernah melepasi pusingan ketiga Cincinnati manakala Nishioka membuat penampilan pertamanya di kejohanan itu.

Nishioka akan memburu tiket ke suku akhir awal pagi Jumaat apabila berdepan pemain Australia Alex di Minaur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:48 AM