PENJAGA gol Liverpool, Adrian ketika beraksi menentang Chelsea pada Piala Super Eropah. FOTO EPA
Reuters

PENJAGA gol Sepanyol Adrian tidak mempunyai kelab dua minggu lalu, bergerak sebagai ejen bebas mencari majikan baharu musim ini tetapi awal pagi tadi dialah penyelamat gawang Liverpool ketika sepakan penalti yang memberikan kejuaraan Piala Super mengatasi Chelsea.

Pemain berusia 32 tahun itu dilepaskan West Ham United pada akhir musim lalu tetapi diberikan talian hayat Liga Perdana Inggeris minggu lalu oleh pengendali Liverpool Juergen Klopp yang membawanya masuk sebagai pengganti penjaga gol utama Alisson Becker dari Brazil.

Dia berkemungkinan memanaskan bangku simpanan selama semusim dengan peluang tampil dalam kejohanan Piala tetapi apa yang berlaku ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Norwich City Jumaat lalu, membawa tuah kepada Adrian beraksi di Anfield apabila Alisson mengalami kecederaan betis.

Dia kemudianya diberi tugas dalam pertembungan tahunan membabitkan juara Liga Juara-Juara dan Liga Europa dan selepas perlawanan terikat 2-2, dia menyelamatkan sepakan penalti terakhir dengan menghadang sepakan Tammy Abraham dengan kakinya.

Klopp meniru gaya Sylvester Stallone dalam rangkaian filem Rocky ketika melaungkan ‘Adrian!’ menerusi mikrofon televisyen dan benar-benar menghargai usaha ditunjukkan penjaga gol itu.

“Kisah yang hebat. Dia berjaya mengawal rasa gugup,” kata Klopp.

“Namanya bergema di bilik persalinan hari ini. Saya tidak fikir banyak yang dimenanginya sepanjang hidupnya jadi bagus jika dia menang. Dia berjaya menampilkan aksi luar biasa di depan gawang, kedua-dua penjaga gol sama hebat jadi saya bangga dengannya.”

Pertahanan Liverpool Virgil van Dijk berkata dia menyokong penjaga gol itu untuk memenangi perlawanan itu.

“Saya beritahu Adrian sebelum sepakan penalti itu dia boleh menjadi wira dan dia berjaya melakukannya, saya bangga dengan pencapaiannya dan kelab,” kata pemain Belanda itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:40 AM