FRANK Lampard memuji aksi pasukan dalam perlawanan yang berakhir seri 2-2 selepas masa tambahan. FOTO Reuters
Reuters

CHELSEA tewas kepada Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti pada Piala Super awal pagi tadi tetapi pengurusnya Frank Lampard memuji aksi pasukan dalam perlawanan yang berakhir seri 2-2 selepas masa tambahan.

Chelsea tewas 0-4 kepada Manchester United Ahad lalu dalam penampilan sulung kompetitif pertama Lampard selepas menggantikan Maurizio Sarri pada Julai tetapi bekas pemain tengah England itu berkata pemainnya bangkit dengan cara yang tepat.

“Selepas perlawanan Ahad lalu, malam ini menampilkan tahap berbeza dan kami tidak bernasib baik kerana tidak menang,” kata Lampard.

“Kami mempunyai tiga lagi perlawanan sebelum rehat antarabangsa dan kami akan cuba menang semua perlawanan.”

Mereka akan menanti kunjungan Leicecter City dalam aksi Liga Perdana Ahad ini.

“Pencapaian Chelsea musim ini akan menjadi lebih baik jika kami bermain seperti hari ini,” katanya.

“Tiada apa bagi saya selain rasa bangga terhadap pasukan dan prestasi mereka, tetapi keyakinan mereka lebih berharga.

“Perlawanan memang mencabar menentang Liverpool yang ternyata hebat dan mempunyai masa tambahan untuk pulih selepas hujung minggu (Liverpool bermain pada Jumaat). Namun bola sepak ada kalanya bergantung kepada nasib juga.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:08 AM