Azraie mahu cemerlang bertemu Negeri Sembilan. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Wan Muhamad Azraie Wan Teh mahu mengulangi aksi cemerlang bertemu Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Bekas penjaga gawang Pahang dan T-Team itu berazam mengekalkan rekod peribadi tanpa bolos dalam saingan piala berprestij Malaysia itu biarpun belum mengetahui kemampuan sebenar skuad Liga Perdana itu.

Pemain berusia 33 tahun kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu juga mengakui tidak rela lagi memanaskan bangku simpanan sebaliknya akan berusaha lebih keras mengintai peluang sebagai penjaga gol nombor satu skuad Penyu.

"Selepas membantu pasukan menang dan menafikan beberapa percubaan penyerang Kedah membolosi pintu gol pada pertemuan kedua peringkat Kumpulan A, saya berazam menyekat barisan depan skuad Negeri Sembilan sekaligus meneruskan momentum kemenangan pasukan buat kali ketiga berturut-turut.

"Selain itu, saya berazam berusaha lebih keras lagi memastikan terus diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama pasukan kerana musim ini baharu enam kali saya beraksi termasuk ketika menumpaskan skuad Helang Merah minggu lalu," ujar Azraie.

Ketika bertemu Kedah, Wan Azraie yang menggantikan penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali yang dilayangkan kad merah adalah antara watak utama kejayaan pasukannya.

Dia berjaya menafikan deretan peluang pemain lawan biarpun pasukannya beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua.

Wan Azraie kehilangan rakan seposisinya, Mohd Suffian Abd Rahman yang mengalami masalah jantung selain Ilham Amirullah digantung perlawanan, akan dibantu penjaga muda, Shafawi Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:51 PM