Wendy mahu penampilan pada Sukan SEA Filipina berakhir dengan sempurna. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


ATLET terjun, Wendy Ng Yan Yee mengakui lebih berhati-hati dalam segenap aspek terutamanya menjelang temasya Sukan SEA di Filipina yang berbaki beberapa bulan lagi.

Temasya dwi tahunan dua tahun lalu di Kuala Lumpur meninggalkan detik hitam kepadanya apabila gagal ujian doping sehingga dilucutkan dua emas yang diraihnya dalam 3 meter papan anjal indivdiu dan 3m papan anjal seirama.

Dia kenakan penggantungan selama lapan bulan atas kesalahan menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine.

"Kali ini saya memang mengambil langkah lebih berhati-hati. Apa yang saya makan dan minum sentiasa berwaspada agar ia tidak berulang.

"Ia satu pengajaran yang berguna namun saya hargainya kerana masih mampu mewakili negara.

Mungkin Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memberikan hukuman yang ringan kerana saya tidak pernah gagal ujian doping selama ini," jelasnya.

Atlet berusia 26 tahun itu bakal diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

"Ini mungkin penampilan terakhir saya di Sukan SEA, jadi saya mahu memastikan ia berakhir dengan sempurna," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:17 PM