Ezam bersama pingat emas dimenangi. FOTO Ihsan pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli
sukanteam@nstp.com.my


ANAK kelahiran Kampung Tepoh, Terengganu mencatat sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas dalam acara Powerlifting Bench Press kategori 83 hingga 93 kilogram (kg) di Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Dunia 2019 di Chengdu, China.

Ezam Aziery Mamat, 35, mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menewaskan empat peserta lain dari China, Argentina, Jerman dan Uruguay dengan jumlah angkatan seberat 180 kg, kelmarin.

Lebih manis apabila penyertaan pertama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu itu turut memecahkan rekod kejohanan seberat 170 kg sebelum ini.

Ezam yang membuat persiapan dalam tempoh sebulan sebelum ke kejohanan itu tidak menyasarkan sebarang pingat sebaliknya sekadar mahu mencuba nasib.

"Sebelum ini, saya hanya aktif dengan sukan bina badan dan sudah beberapa kali mewakili JBPM dalam sukan ini namun, penyertaan kali ini hasil dorongan Majlis Sukan Bomba Malaysia.

"Saya tidak mempunyai teknik khas dan tidak menjalani latihan khusus untuk sukan ini, semuanya bergantung kepada pengalaman ketika menjalani latihan bina badan di gimnasium sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, dia mengalami kecederaan pada bahagian siku kiri ketika acara Bench Press sekali gus menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada menyertai acara Deadlift.

"Memang sedih apabila tidak berpeluang menyumbangkan satu lagi pingat untuk negara tetapi saya terpaksa akur dan berharap kecederaan sama tidak berulang lagi tahun hadapan," katanya, pernah meraih emas acara bina badan Kejohanan Sukan Bomba Dunia di Korea tahun lalu.

Menurut Ezam, kejayaan itu memberi semangat kepadanya untuk bergiat secara serius dalam sukan berkenaan.

"Selama ini, saya hanya memberi fokus kepada sukan bina badan tetapi kemenangan ini memberi keyakinan untuk bergiat aktif dalam sukan ini.

"Jika diikutkan, rekod angkatan peribadi saya ketika latihan untuk acara Powerlifting Bench Press ialah 230 kg tetapi kecederaan dialami menyebabkan saya gagal berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:26 PM