KLOPP ketika sesi latihan Liverpool di Vodafone Park, Istanbul. - FOTO Reuters
AFP

JURGEN Klopp memberi amaran kepada pemainnya supaya berwaspada dengan skuad ‘segar’ Chelsea kendalian Frank Lampard ketika kedua-dua pesaing Liga Perdana itu bersiap sedia menghadapi Piala Super UEFA di Istanbul, awal pagi esok.

Kelab Anfield itu menjadi calon pilihan mengukir satu lagi kejayaan selepas mengakhiri kemarau tujuh tahun dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu.

Lawan mereka berada di Turki selepas menjuarai Liga Europa pada Mei lalu tetapi kehilangan bintang, Eden Hazard yang berpindah ke Real Madrid.

Selepas mengemudi Derby County ke aksi play-off Championship musim lalu, Lampard digantikan Maurizio Sarri tetapi bekas pemain tengah itu bermula langkah kiri apabila dibelasah 0-4 oleh Manchester United dalam aksi pertama Liga Perdana.

"Jika anda hanya melihat keputusan, anda tiada idea kerana ia perlawanan yang bagus " tegas Klopp, awal pagi tadi.

"Mereka pasukan sangat menarik, perancangan yang bagus dan Frank melakukannya dengan cemerlang di Derby. Cuma dia tiada tuah apabila berdepan Aston Villa tetapi sekarang dia di Chelsea. Semuanya segar dan setiap orang bersedia.”

Liverpool berharap dapat mengekalkan momentum selepas muncul juara Eropah kali keenam tetapi timbul kebimbangan kesan kempen jelajah pramusim mereka.

"Ia jelajah pramusim yang sukar bukan sahaja kepada kami,” kata pengendali dari Jerman itu yang pasukannya tewas dalam aksi Perisai Komuniti sebelum bangkit menewaskan Norwich pada aksi pembukaan Liga Perdana.

"Kami menang satu trofi tahun lalu. Pasukan ini dibina untuk kejayaan dan ini yang akan kami usahakan. Awal pagi esok satu lagi peluang buat kami.”

Liverpool menjuarai Piala Super tiga kali dengan kejayaan terakhir pada 2005 selepas menewaskan CSKA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 8:43 AM