Garre (kiri) berentap dengan pemain Bayern Munich dalam aksi Piala Juara Antarabangsa di Miami pada 28 Julai 2018. - FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER City didapati bersalah oleh FIFA selepas melanggar peraturan perpindahan dan pendaftaran membabitkan pemain di bawah umur 18 tahun, menurut pengumuman badan bola sepak antarabangsa itu.

Juara Liga Perdana itu berdepan hukuman larangan perpindahan tetapi Jawatankuasa Disiplin FIFA hanya mendenda City 339,000 euro (RM1.58 juta).

Kenyataan FIFA menyebut hukuman itu berdasarkan fakta Manchester City FC mengakui kesalahan dan bertanggungjawab di atas apa dilakukan mereka.

Walaupun City menerima hukuman, mereka mendakwa masalah itu timbul sebelum FIFA menjelaskan dengan lebih lanjut peraturan terbabit.

"Kelab mengakui kesilapan akibat salah faham. Semua kesalahan dilakukan sebelum Disember 2016 ketika peraturan itu masih samar,” menurut jurucakap kelab.

Tahun lalu, FIFA membersihkan City daripada kesalahan dilakukan pada 2016 apabila menandatangani Benjamin Garre dari Velez Sarsfield selepas pemain tengah Argentina itu baharu sahaja mencapai usia 16 tahun.

Juga pada 2018, dua pemain daripada akademi bola sepak Right to Dream di Ghana, George Davies dan Dominic Oduro memberitahu akhbar Denmark, Jyllands-Posten mereka ditandatangani City dan beraksi dalam perlawanan peringkat belia sebelum berusia 18 tahun. Kedua-duanya beraksi dua tahun di kelab itu.

City turut disiasat Liga Perdana dan Persatuan Bolasepak di England serta UEFA, badan bola sepak Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 8:11 AM