AKSI penjaga gol PAOK, Alexandros Paschalakis menyelamatkan gawang daripada ditembusi Tadic (kiri) di Amsterdam. - FOTO AFP
AFP

AJAX mara ke peringkat play-off Liga Juara-Juara selepas menewaskan PAOK Thessaloniki 3-2 dalam aksi sengit di Amsterdam dan mara dengan agregat 5-3, awal pagi tadi.

Jaringan penalti Dusan Tadic pada setiap babak dan tandukan lewat Erik ten Hag mencerahkan peluang mereka mara ke peringkat kumpulan dan seterusnya mengulangi pencapaian separuh akhir tahun lalu.

Tadic yang terlepas peluang menjaringkan penalti menyamakan kedudukan dua minit sebelum rehat sekali gus melegakan penyokong selepas Diego Biseswar meletakkan pelawat di hadapan pada pertengahan babak pertama.

Tandukan kencang Tagliafico membolehkan tuan rumah mendahului pada minit ke-79 dan penalti Tadic lima minit sebelum tamat perlawanan mengesahkan kemenangan Ajax yang akan menentang APOEL Nicosia sebelum bermula saingan peringkat kumpulan September depan.

APOEL mara selepas mengatasi defisit 2-1 pada aksi peringkat pertama dengan menewaskan Qarabaq 2-0 di tempat lawan hasil jaringan Tomas De Vincenti dan Urosh Matich.

Dalam perlawanan lain, bekas juara Eropah, Porto, Celtic dan Red Star Belgrade tersingkir selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Selepas seri 1-1 di Romania, Celtic bangkit mendahului 3-2 sebelum dua jaringan lewat Cluj membolehkan mereka menewaskan bekas juara Eropah 1967 itu dengan agregat 5-4.

Porto pula gagal memanfaatkan kemenangan 1-0 pada aksi pertama apabila kelab Rusia, Krasnodar menjaringkan tiga gol dalam tempoh 33 minit untuk mara ke saingan seterusnya.

Juara Eropah dua kali itu bangkit menyamakan kedudukan agregat pada babak kedua hasil jaringan Ze Luis dan Luis Diaz tetapi gagal mencari gol kemenangan walaupun mempunyai 25 percubaan sekali gus tersingkir berdasarkan jaringan di tempat lawan.

Red Star tersingkir 6-7 kepada kelab Denmark, FC Copenhagen menerusi penentuan penalti yang menyaksikan 19 sepakan diambil selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 secara agregat.

Club Brugge dari Belgium pula mara selepas menang 4-3 secara agregat selepas seri 3-3 di Dynamo KIev yang menyaksikan tiga jaringan dihasilkan pada lewat perlawanan ketika kedua-dua pasukan beraksi 10 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 7:38 AM