Benitez kecewa dengan pengurusan Newcastle. FOTO REUTERS
AFP

RAFAEL Benitez berkata ‘janji tidak ditunaikan’ daripada pemilik Newcastle, Mike Ashley memainkan peranan penting terhadap keputusannya meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk menyertai kelab Liga Super China, Dalian Yifang.

Benitez meninggalkan Newcastle apabila kontraknya berakhir pada penghujung musim selepas tiga musim di St James Park yang dicemari dengan beberapa kontroversi dengan Ashley.

Pengurus Sepanyol itu yang berhijrah ke Dalian dengan kontrak mewah dilaporkan £12 juta (RM61j) setahun menyebabkan dia dituduh oleh Newcastle dia menerima tawaran kelab China itu disebabkan oleh sebab kewangan.

Steve Bruce menggantikan Benitez selaku pengurus Magpies tetapi perbalahan berterusan selepas ketua eksekutif Newcastle, Lee Charnley menulis dalam program hari perlawanan ketika bertemu Arsenal, kelmarin.

Dia menyatakan bekas pengurus Liverpool dan Real Madrid itu membuat keputusan disebabkan oleh dorongan duit.

Bagaimanapun menerusi ruangan pojok untuk Athletic, Benitez menjelaskan dia kecewa dengan hierarki Newcastle yang dianggapnya gagal untuk memberi sokongan terhadap pelaburan untuk infrastruktur kelab itu.

Malah kelab terbabit juga gagal memperbaiki kontraknya musim lalu.

“Saya cuba melakukan terbaik setiap hari malah terus kekal biarpun kami tersingkir ke Liga Kejuaraan dan berkata tidak kepada tawaran lain dan ada tawaran lebih besar berbanding apa saya terima bersama Dalian Yifang,” tulis pengurus dari Sepanyol itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 11:25 PM