Oltmans sedia lepaskan pemain tidak terpilih ke kelayakan Sukan Olimpik. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


SKUAD hoki dalam dewan mengharapkan sentuhan pemain senior hoki padang dalam usaha membantu skuad itu mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Malah ketua jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans turut bersetuju melepaskan pemain yang tidak terpilih ke kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 pada Oktober nanti.

Penolong jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki, Megat Azrafiq Termizi menyasarkan untuk mendapatkan khidmat tiga ke empat orang pemain senior.

Bagaimanapun pemain berkenaan masih belum dikenal pasti namun akan memberi keutamaan kepada barisan pemain yang pernah beraksi bersama skuad 2017.

"Saya harap pemain hoki padang nanti akan dapat membantu skuad negara selain memberi cabaran kepada pemain sedia ada.

"Keputusan siapakah yang akan terpilih nanti hanya akan diputuskan kemudian kerana ia bergantung kepada pemain yang tidak akan di bawa beraksi di pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik," katanya.

Namun antara pemain yang berada dalam radanya adalah Najib Abu Hassan, Norsyafiq Sumantri, Syed Syafiq Syed Cholan, Amirol Aideed, Ashran Hamsani dan Najmi Farizal Jazlan.

Sementara situasi berbeza dialami oleh ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, Yahya Atan apabila hasratnya untuk membawa pemain hoki padang ke dalam skuad hoki dalam dewan tidak kesampaian.

Namun sedikit melegakan hatinya apabila mendapat dua daripada lima pemain yang dipohon iaitu Shafiqah Mohd Zain dan Syafiqa Mat Isa.

Sebagai rekod, pasukan hoki dalam dewan lelaki meraih emas pada temasya Sukan SEA lalu manakala skuad wanita meraih gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 4:35 PM