MBAPPE (kanan) menembusi gawang Nimes di Stadium Parc des Princes, Paris. - FOTO AFP
Reuters

PARIS St Germain jelas tiada masalah tanpa Neymar apabila Edinson Cavani, Kylian Mbappe dan pemain gantian, Angel Di Maria menjaringkan gol ketika menewaskan Nimes 3-0 dalam aksi pertama Ligue 1 di Parc des Princes, awal pagi tadi.

PSG tidak menyenaraikan bintang Brazil berusia 27 tahun yang berhasrat meninggalkan ibu kota Perancis itu sekali gus tidak disenangi penyokong mereka yang mengecamnya menerusi sepanduk yang dibawa masuk ke dalam stadium.

Juara bertahan itu diberikan penalti kontroversi apabila pengadil, Clement Turpin yang menggunakan VAR mendapati bola terkena tangan pertahanan Nimes, Pablo Martinez.

Pemain Nimes dan jurulatih membantah namun gagal dan Cavani tenang menyempurnakan sepakan pada minit ke-24.

Mbappe menggantikan kelebihan 11 minit selepas rehat menerusi rembatan kencang ke penjuru kiri gawang dan sayap Argentina, Di Maria melengkapkan kemenangan tuan rumah dengan meledak jaringan menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-69.

Sementara itu, dua jaringan penyerang Lille, Victor Osimhen membolehkan pasukannya menewaskan Nantes 2-1 di tempat sendiri manakala Metz seri 1-1 di Strasbourg.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:40 AM