PEMAIN Barcelona bergambar bersama trofi selepas memenangi Piala La Liga-Serie A di Stadium Michigan, Ann Arbor, Michigan. - FOTO AFP
AFP

LUIS Suarez dua kali menembusi gawang lawan, Antoine Griezmann turut menjaringkan gol pertamanya ketika Barcelona membelasah Napoli 4-0 dalam aksi persahabatan terakhir sebelum bermula musim baharu La Liga.

Enam hari sebelum Barcelona menentang Atletico Bilbao dan di tengah spekulasi mengenai Neymar makin hangat kembali ke Camp Nou, gergasi Sepanyol itu tiada masalah sekali lagi mengatasi kelab Itali itu yang ditewaskan 2-1 di Miami pada Rabu lalu.

Messi tidak mengikuti jelajah pramusim di Amerika Syarikat susulan kecederaan betis tetapi tanpanya tiada masalah buat Barcelona.

Kehadiran 60,043 penonton di Stadium Michigan dihiburkan dengan aksi menarik Barcelona yang empat kali membolosi gawang Napoli dalam masa 15 minit.

Suarez membuka tirai jaringan pada minit ke-48 selepas memanfaatkan bola muntah hasil rembatan Griezmann. Pemain Napoli cuba membantah kerana mendakwa penyerang Perancis itu terlebih dahulu ofsaid namun tidak dihiraukan pengadil.

Griezmann menjaringkan gol pertamanya bersama Barca pada minit ke-56 berpunca daripada larian menarik pertahanan, Jordi Alba. Pemain Sepanyol itu menghantar ke sebelah kiri dalam kotak penalti yang pantas disambar Griezmann untuk gol kedua.

Sebelum Napoli mendapat rentak, Suarez sekali lagi mempamerkan ketajamannya pada minit ke-58 dengan meledak kencang ke penjuru kiri Napoli untuk gol ketiga.

Penyerang Perancis, Ousmane Dembele melengkapkan kemenangan Barcelona pada minit ke-63 menerusi rembatan kanan dalam kotak penalti.

Sementara itu di Perancis, Neymar tersisih dalam aksi pembukaan Paris Saint-Germain dan pengarah sukan, Leonardo berkata, rundingan mengenai bintang Brazil itu menunjukkan kemajuan dengan Real Madrid atau Barcelona menjadi destinasi utama selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 9:54 AM