Aksi Zaqhwan ketika meninggalkan pencabarnya. FOTO ARRC
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PELUMBA negara, Md Zaqhwan Zaidi mempamer tunggangan cemerlang apabila muncul juara Perlumbaan 1 kelas ASB1000 di pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai hari ini.

Pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 20:38.147 saat (s).

Pencabarnya, Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) yang sudah biasa beraksi di litar berkenaan mencuba beberapa kali untuk memberi tekanan kepada Zaqhwan tetapi gagal.

Akhirnya Ito menyerah dan berpuas hati menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Thitipong Warokom (Kawasaki Thailand Racing Team).

Pasukan Honda Asia Dream Racing meraikan kejayaan Zaqhwan (bertopi kuning). FOTO ARRC

Zaqhwan kini melonjak ke tangga kedua dengan 140 mata.

Zaqhwan berkata, prestasi cemerlangnya pada perlumbaan itu didorong dengan semangat untuk muncul juara.

"Sasaran saya hanya untuk menang dan impian itu menaikkan semangat untuk menampilkan gaya tunggangan yang sempurna.

"Sebaik berjaya menjarakkan diri di hadapan pelumba lain, saya sudah berasa semakin selesa dan yakin untuk menang," katanya.

Sementara itu dalam saingan SS600, Muhamad Adam Mohd Norrodin muncul juara sekaligus kemenangan pertamanya di saingan itu.

Pelumba pasukan SIC Junior ZK Racing Team itu menewaskan seorang lagi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:53 PM