Li Rui (kanan) hantar Tze Liang berlatih di China. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


JURULATIH terjun negara, Li Rui berharap latihan di Sichuan, China dapat membantu penerjun lelaki negara Ooi Tze Liang mendapat tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Sesi latihan selama tiga minggu bermula minggu ini bagaimanapun hanya akan disertai tiga penerjun negara iaitu Tze Liang bersama Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam persediaan menghadapi Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September depan.

Di tanya mengapa beliau hanya menghantar tiga atlet berkampung di China, Li Rui berkata, ia adalah perlu bagi memantapkan skil terjunan ketiga-tiga atlet berkenaan sebagai persediaan menghadapi cabaran dari Korea Utara nanti.

"Ketika Kejohanan Dunia di Korea Selatan bulan lalu, penerjun Korea Utara tidak mengambil bahagian.

"Jadi mereka akan menyertai Kejohanan Asia untuk memburu tempat ke temasya Olimpik nanti," katanya yang menyifatkan cabaran sebenar penerjun negara adalah dari China dan Korea Utara.

Justeru latihan di China itu diharapkan dapat membantu ketiga-tiga atlet berkenaan terutama pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow dalam acara 3m papan anjal, Tze Liang kekal fokus seterusnya layak ke Tokyo.

Li Rui menegaskan biarpun Pandelela dan Mun Yee sudah layak ke Olimpik namun kedua-dua mereka perlu memberi yang terbaik dalam 10m platform seirama di Kejohanan Asia untuk melihat sejauh mana kekuatan atlet Korea Utara.

Ketika ini seramai tiga penerjun sudah mendapat tiket ke Olimpik dan mereka terdiri daripada Pandelela, Mun Yee dan Wendy Ng.

Pandelela layak dalam acara 10m platform individu dan 10m platform seirama bersama Mun Yee manakala Wendy dalam acara 3m papan anjal individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:16 PM