LIVERPOOL berbangga dengan pencapaian merangkul Piala Eropah kali keenam di Madrid, Jun lalu. — FOTO Reuters
Reuters

RAMAI pengurus membelanjakan wang yang banyak dalam mengejar kejuaraan, namun jurulatih Liverpool, Juergen Klopp menggunakan pendekatan berbeza menjelang musim baharu dengan mempercayai barisan sedia ada bagi memburu mahkota Liga Perdana Inggeris.

Pada 2008, selepas Manchester United meraih gelaran kedua berturut-turut, ketua eksekutif David Gill berkata: “Saya rasa ia liga terbaik di dunia, jadi jika kami mahu terus berada di atas, kami perlu melihat skuad, memperbaikinya.”

United menang Liga Juara-Juara beberapa minggu selepas itu tetapi masih mahu membelanjakan wang membeli penyerang Tottenham Hotspur dari Bulgaria, Dimitar Berbatov walaupun sudah memiliki Carlos Tevez, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney.

Pendekatan Klopp amat berbeza dengan Liverpool masih belum membuat sebarang pembelian besar pada musim panas kali ini.


SALAH antara pemain terbaik dunia ketika ini. — FOTO AFP

“Tahun depan akan ada lagi jendela perpindahan,” kata Klopp. “Pasukan ini amat bagus dan kami membelanjakan wang yang besar untuknya. Sekarang kami perlu menggunakannya.”

Pengendali dari Jerman itu semakin percaya dengan kelompok pemain dimilikinya.

Sebelum meraih kejuaraan Piala Eropah kali keenam Jun lalu, Liverpool mengumpul 97 mata musim lalu – ketiga tertinggi secara keseluruhan sepanjang sejarah Liga Perdana.

Mereka melakukan apa yang terdaya tetapi Manchester City menewaskan mereka dengan hanya satu mata walaupun Liverpool hanya tewas satu perlawanan liga sepanjang musim – senario yang tidak mahu diulangi.

Tiga penyerang Liverpool - Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane ditakuti di seluruh Eropah dan pertahanan mereka melepaskan gol paling sedikit berbanding pencabar Liga Perdana musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 1:54 PM