CAROLINE melambai kepada penonton selepas menewaskan Yulia pada pusingan pertama Piala Rogers di Toronto. — FOTO Reuters
AFP

BEKAS juara Caroline Wozniacki mara ke pusingan kedua kejohanan elit WTA di Toronto awal pagi tadi selepas menang 6-4, 6-2 ke atas Yulia Putintseva dari Kazakhstan.

Caroline, yang tampil sebagai pilihan ke-15, bangkit daripada ketinggalan 2-4 pada set pemnbukaan sebelum menempah tiket ke pusingan kedua dalam tempoh 90 minit.

“Pada awalnya, saya berdepan masalah untuk mengembalikan servisnya kerana beberapa alasan jadi saya biarkan saja buat seketika,” kata Caroline.

“Dia boleh membuatkan anda mengejar bola ke sekeliling gelanggang tapi saya menemui jalan untuk bangkit dan memenanginya.”


CAROLINE ceria ketika menjawab soalan wartawan. — FOTO AFP

Pemain Denmark itu, yang menjulang kejuaraan tahap Perdana WTA Kanada itu pada 2010 apabila ia dilangsungkan di Montreal, tidak begitu cemerlang ketika ia diadakan di Toronto, sekalipun dia layak ke final pada 2017.

“Saya hanya gembira untuk berada di sini dan menang satu lagi perlawanan serta meraih permulaan baik,” kata Caroline. “Kami akan lihat bagaimana keputusannya.”

Lapan pilihan utama pada kejohanan pemanas badan terakhir menjelang Terbuka AS menerima laluan percuma pada pusingan pertama – kelompok yang diketuai pemain nombor satu dunia Ashleigh Barty dari Australia dan pemain nombor dua Naomi Osaka dari Jepun.

Juara Wimbledon, Simona Halep dan pemenang 23 gelaran Grand Slam, Serena Williams – yang tewas kepada pemain Romania itu pada final di Kelab All England – turut layak automatik ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:42 PM