GUARDIOLA (dua kiri) dilayangkan kad kuning oleh pengadil Martin Atkinson di Wembley malam tadi. — FOTO AFP
AFP

PEP Guardiola percaya kejayaan Manchester City mempertahankan Perisai Komuniti mengalahkan Liverpool satu persiapan sempurna menjelang saingan sengit antara dua kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Anak buah Guardiola mencipta kemenangan pertama menjelang kempen baharu apabila mengatasi lawan 5-4 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 pada aksi pembuka tirai tahunan liga utama Inggeris.

Aksi persahabatan berprestij di Wembley malam tadi menunjukkan tiada apa membezakan dua pasukan itu selepas City menewaskan Liverpool dengan satu mata bagi merangkul kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

Raheem Sterling meletakkan City di depan pada babak pertama sebelum jaringan penyamaan lewat Joel Matip memaksa penentuan penalti yang dimenangi anak buah Guardiola menerusi penalti penentuan Gabriel Jesus selepas Claudio Bravo menyelamatkan percubaan Georginio Wijnaldum.


BRAVO (kanan) menyelamatkan sepakan penalti Wijnaldum. — FOTO AFP

Menyedari ancaman serius yang boleh diberikan Liverpool, cara City meraikan jaringan Jesus menunjukkan betapa mereka beria-ia untuk mencetus tamparan psikologi awal terhadap musuh mereka.

“Ada dua pencabar utama, Liverpool dan kami untuk memenangi Liga Perdana. (Manchester) United dengan (Harry Maguire) dan pemain lain yang dibeli mereka, Arsenal, Chelsea dan Tottenham juga akan berada di sana,” kata Guardiola.

“Pada awal musim ada lima atau enam calon. Tapi saya fikir kami dan Liverpool, jadi bagus untuk melihat pasukan yang kami cabar, juara Eropah.

“Mereka pasukan bertaraf dunia, perbezaannya minimum, satu mata musim lalu dan satu penalti hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 9:16 AM