Pemain Dortmund merangkul Piala Super selepas menewaskan Bayern Munich, 2-0. FOTO AFP
Agensi

PEMAIN kebangsaan England, Jadon Sancho menjaringkan satu gol dan membantu penyumbang satu lagi jaringan tatkala Borussia Dortmund menewaskan Bayern Munich 2-0 untuk memenangi Piala Super, awal pagi ini.

Dua minit dalam aksi babak kedua perlawanan, Sancho, 19, melakukan gerakan menarik untuk mengumpan bola kepada Paco Alcacer seterusnya menewaskan penjaga gawang Bayern, Manuel Neuer pada aksi sebagai pembukaan saingan musim baharu liga Jerman itu.

Bayern memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun penjaga gol Dortmund, Marwin Hitz berjaya menyelamatkan usaha Leon Goretzka dan tandukan Kingsley Coman.


Jadon Sancho meraikan jaringan berdepan Bayern Munich dalam saingan Piala Super pagi ini. FOTO Agensi

Sancho kemudian menjaringkan gol kedua Dortmund menerusi satu lagi gerakan menarik dan diikuti rembatan leret menewaskan penjaga gol lawan.

Piala Super kebiasaannya membabitkan pertembungan juara Bundesliga menentang pemenang Piala Jerman musim lalu namun Bayern memenangi kedua-dua gelaran pada 2018-19 menyaksikan perlawanan kali ini membabitkan naib juara Bundesliga, Dortmund.

Bayern yang memenangi liga dengan hanya perbezaan dua mata, membelasah Dortmund 5-0 pada pertembungan terakhir kedua-dua pasukan itu pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 8:17 AM