PEMAIN PSG meraikan kejayaan memenangi Trofi Juara Perancis di Shenzhen, malam ini. — FOTO AFP
AFP/Reuters

KYLIAN Mbappe mencetus saat magis ketika Paris Saint-Germain merangkul trofi pertama mereka pada musim baharu dengan kemenangan 2-1 ke atas Rennes pada aksi Trofi Juara Perancis di Shenzhen, malam ini.

Bos PSG dari Jerman, Thomas Tuchel kelihatan lebih lega berbanding gembira selepas itu, memandangkan pasukannya ketinggalan ketika rehat.

“Hampir setiap pemain letih,” kata Tuchel, merujuk kepada cuaca panas di bandar raya selatan China itu dan hakikat perlawanan itu hadir pada hujung jelajah yang lama.

“Kami banyak menggunakan pemain baharu tapi masih beraksi dengan amat bagus. Kemenangan ini satu ganjaran buat kami. Ia permulaan bagus menjelang musim baharu.”


MBAPPE (tengah) menjaringkan gol penyamaan PSG menentang Rennes. — FOTO AFP

Pemain gantian Angel Di Maria menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma mengagumkan pada minit ke-73.

Adrien Hunou memberikan Rennes, juara Piala Perancis gol pendahuluan selepas 13 minit sekalipun PSG mendominasi babak pertama sebelum Mbappe menyamakan kedudukan 12 minit selepas rehat susulan hantaran Pablo Sarabia.

Kejayaan PSG meraih Trofi Juara Perancis kali ketujuh berturut-turut adalah satu rekod - mengatasi enam kemenangan Olympique Lyonnais dari 2002-2006 - dan bermakna mereka memulakan kempen mempertahankan kejuaran Ligue 1 dengan penuh semangat sekalipun mungkin tidak mendapat khidmat perancang utama Neymar.

Penyerang Brazil berusia 27 tahun itu, yang dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Barcelona, hanya menyaksikan perlawanan dari bangku penonton di stadium Pusat Sukan Universiti Shenzhen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 12:45 AM